Mengikut pertuduhan, Yap Ying Chao, 25, dan Boo Weil Seng, 30, didakwa menerima deposit daripada Fong Han Yan, 30, berjumlah RM5,720 tanpa suatu lesen sah yang diberikan mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamunting di sini pada pukul 11.14 pagi, 12 April 2016.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda yang boleh sampai RM50 juta atau kedua-duanya

jika sabit kesalahan.

Ying Chao dan Weil Seng yang tidak diwakili peguam pada mulanya membuat pengakuan bersalah ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Syed Faisal Syed Amir.

Walau bagaimanapun, ketika pertuduhan terhadap mereka dibacakan buat kali kedua, Ying Chao dan Weil Seng kelihatan tidak memahami pertuduhan dan terpinga-pinga sebelum memberi beberapa alasan ketika ditanya oleh Hakim Syed Faisal.

Tindakan mereka itu membuatkan mahkamah membuat keputusan untuk menolak pengakuan pertama yang dibuat tertuduh kerana dianggap memberi pengakuan bersyarat.

Hakim Syed Faisal kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September ini sebagai tarikh sebutan semula untuk melantik jurubahasa bahasa Mandarin. - UTUSAN ONLINE