Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Johor, Kapten Martim Sanifah Yusof berkata, operasi SAR yang dilakukan hari ini menjumpai dua mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia berusia antara 20 hingga 50 tahun di dua lokasi berbeza.

“Mayat seorang wanita ditemui di perairan Teluk Ramunia dekat sini, pada pukul 9.50 pagi manakala satu mayat lelaki ditemui pukul 11.10 pagi di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Tanjung Penyusup di sini.

“Sehingga kini, lima PATI ditemui dalam keadaan masih hidup manakala lima lagi ditemui lemas. Operasi diteruskan bagi mengesan 14 lagi yang masih hilang,” katanya dalam sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Sanifah berkata, pihaknya memperluaskan lokasi pencarian kepada 80 batu nautika hingga ke Teluk Ramunia di sini, dengan memberi tumpuan terhadap kawasan pantai memandangkan semua mayat yang ditemui setakat ini dihanyutkan ke arah pantai.

Katanya, operasi SAR yang mendapat penglibatan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta nelayan tempatan diteruskan hingga tidak ada petunjuk lagi. - UTUSAN ONLINE