Menurut sumber, kedua-dua anggota yang turut bertugas di Balai Polis Pagoh berpangkat Koperal dan Lans Koperal ber­usia 50 dan 28 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat kira-kira pukul 4 petang semalam bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua anggota polis berkenaan disyaki telah mene­rima sebahagian daripada wang rasuah bulanan RM700 bagi November dan Disember 2017 dan Januari tahun ini yang diterima oleh suspek pertama.

“Hasil siasatan dijalankan mendapati kedua-dua suspek turut menerima wang rasuah tersebut untuk tujuan sama, iaitu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan ke atas majikan pengadu yang mengambil pekerja asing tanpa permit bekerja di tapak pembinaan sekitar Pekan Pagoh,” katanya di sini.

Kes disiasat di bawah Sek­syen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman den­da lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, suspek pertama yang ditangkap kelmarin ditahan reman selama empat hari hingga Sabtu ini kerana disyaki telah menerima wang rasuah RM700 secara bulanan daripada seorang staf kontraktor sejak November lepas hingga bulan lalu.

Wang sogokan itu diperca­yai sebagai dorongan tidak me­ngambil tindakan atas kesalahan mengambil pekerja buruh asing tanpa permit bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan sekitar Pekan Pagoh.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut, namun enggan mengulas lanjut.