Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan adik lelakinya yang berumur setahun maut dipercayai dikelar oleh seorang lelaki di Kampung Kuala Sungai, di sini malam tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, suspek dipercayai mengamuk dan bertindak menyerang seorang lelaki terlebih dahulu sebelum memasuki ke rumah mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, suspek kemudian menyerang kedua-kedua mangsa yang ketika itu berada di dalam bilik bersama ibu mereka.

Katanya, suspek berjaya ditahan sejurus selepas kejadian dan siasatan awal mendapati lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE