Mohd. Faidzol Rahimi Ibrahim, 42, yang merupakan seorang peguam dan K. Maragatham, 54, pula pengurus guaman bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Faidzol sebagai peguam kepada R. S. Paragash, 67, yang diamanahkan dengan wang berjumlah RM1,216,065.75 didakwa telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan harta itu.

Sementara itu, Maragatham didakwa telah bersubahat dengan Mohd. Faidzol untuk melakukan perbuatan tersebut.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di firma guaman Tetuan Mohd. Faidzol Rahimi & Partners di Suite 505, tingkat 5, Blok A Kelana Bussiness Center, Kelana Jaya dekat sini antara 2 Jun dan 23 Ogos 2016.

Mohd. Faidzol didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.

Maragathan pula didakwa di bawah Seksyen 409 dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukaman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda.

Norshila menetapkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dan memerintahkan pasport diserahkan kepada mahkamah. Kedua-dua tertuduh membayar jaminan itu.

Kes akan disebut semula pada 28 September ini bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Wee Li sementara tertuduh diwakili peguam Suraj Singh. - UTUSAN ONLINE