Rozana Sawal, 41, dan Nor Sulastri Suratmi Bahrom, 22, masing-masing menghadapi dua pertuduhan yang kesemuanya didakwa dilakukan di tadika yang terletak di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini antara pukul 9 pagi dan 11 pagi, 30 Julai 2018.

Mengikut pertuduhan, Rozana didakwa telah menganiayai dari segi fizikal seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dengan menampar pipi mangsa sehingga terjatuh dari kerusi dan didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dengan menampar pipi mang­sa sebanyak dua kali.

Sementara Nor Sulastri didakwa telah menganiayai dari segi fizikal seorang kanak-kanak pe­rempuan berusia tiga tahun de­ngan cara mengangkat dan meletakkannya di atas leher seorang kanak-kanak lelaki serta mencubit mangsa.

Nor Sulastri juga didakwa te­lah mengasari kanak-kanak lelaki terbabit yang berusia tiga tahun dengan mengangkat dan menggigit tangannya.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi yang me­ngendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan dengan mengambil kira video kes tersebut telah tular dalam media sosial dan mendapat perhatian netizen.

Siti Ruvinna bagaimanapun berkata, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, be­liau mencadangkan jumlah RM30,000 bagi setiap pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh selain syarat tambahan dikenakan.

Peguam, Zarin Mohd. Zin dan Farid Aziz yang masing-masing mewakili Rozana serta Nor Sulastri bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang rendah diberikan dengan menegaskan vi­deo yang tular dalam media sosial tidak boleh mempengaruhi keputusan mahkamah. 

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan mereka dilarang mendekati saksi-saksi pendakwaan. 

Mahkamah turut menetapkan sebutan kes pada 26 September ini.

Awal minggu lalu, dua video rakaman kejadian masing-masing berdurasi 2 minit 10 saat dan 36 saat tular dalam laman sosial menunjukkan tindakan dua guru wanita memukul serta mencederakan beberapa kanak-kanak di sebuah tadika.