Dua bersaudara tersebut yang dikenali sebagai Hendra, 24, dan Panus, 25, dari Pontianak, Kalimantan Barat itu bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di Taman Tunku di sini.

Hendra mendakwa, mereka bukan sahaja dipukul dan tidak menerima layanan baik daripada majikan, malah tidak dibayar gaji selama bekerja di situ.

“Majikan juga membakar pasport kami selepas berang dengan permintaan untuk pulang ke kampung halaman baru-baru ini.

“Malah bertindak pula memukul kami hingga mengakibatkan saya luka di ibu jari, manakala Panus lebam di dahinya,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Pusat Miri semalam.

Hendra memberitahu, mereka terpaksa bersembunyi di dalam hutan kerana tidak tahu di mana tempat untuk mendapatkan bantuan selain tiada dokumen pengenalan diri.

“Selepas hampir seminggu kami memberanikan diri dan bernasib baik apabila menemui seorang lelaki tempatan sebaik sahaja keluar dari kawasan persembunyian lalu meminta bantuan.

“Lelaki terbabit terus membawa kami ke balai polis untuk membuat laporan berhubung perkara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

“Susulan daripada laporan itu, polis berjaya menahan majikan mangsa untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.