Dalam serbuan pada pukul 5 pagi itu, wanita berusia 52 tahun dan anak lelakinya, 19, ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan sekitar.

Turut ditemukan 3.08 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, berdasarkan risikan dan maklumat awam, pihaknya menyerbu rumah suspek yang dipercayai aktif mengedar dadah jenis syabu di daerah itu.

"Pemeriksaan di rumah tersebut menemukan tiga paket dipercayai dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam sebuah beg hitam.

"Polis turut menemukan alat penimbang dan tiga tiub straw disyaki digunakan untuk memproses dadah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sini, hari ini.

Hamzah menambah, kesemua dadah bernilai RM225,000 dan barang disyaki digunakan untuk memproses dadah berkenaan dirampas.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE