Ibu kepada dua kanak-kanak perempuan itu menerusi akaun Facebooknya memberitahu, kesan lebam pada anaknya disedari hampir setiap kali menjemput mereka dari rumah pengasuh.

Jelasnya, alasan yang diberi pengasuh ketika ditanya mengenai kesan lebam ialah akibat terjatuh ketika berada di bilik air.

“Bibir adik (anak kedua) juga pernah berdarah selain ditampar dan mempunyai kesan lebam di pipi seakan ditampar serta kesan birat di bahagian kaki dipercayai dirotan.

“Pengasuh cuma memberitahu kesan tersebut akibat terjatuh dari buaian sedangkan adik memang tahu turun buaian sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia juga telah menghantar kedua-dua anaknya di Hospital Sungai Buloh, dekat sini dan doktor mengesahkan kesan-kesan pada anak-anaknya itu dipercayai akibat dirotan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, satu laporan polis telah dibuat semalam melibatkan kes tersebut.

“Siasatan sedang dijalankan dan suspek akan ditahan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001. - UTUSAN ONLINE