Dalam kejadian pada pukul 10 malam di perkarangan balai berkenaan, kedua-dua anggota terbabit ditahan setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki kedua-dua anggota tersebut menemukan dua plastik sampah yang mengandungi pelbagai barang.

Katanya, antara barang yang dijumpai termasuk bateri, rokok, minuman botol, coklat, ubat gigi, kek dan daun terup.

“Dua anggota itu ditahan setelah dipercayai cuba membawa masuk barang terlarang ke dalam lokap.

“Siasatan berhubung perkara ini sedang dijalankan sebelum diklasifikasikan mengikut seksyen bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini. - UTUSAN ONLINE