Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kedua-dua remaja lelaki berusia 14 dan 16 tahun itu ditahan semalam.

“Mereka ditahan di Taman Tun Dr. Ismail kira-kira pukul 4 petang semalam dan permohonan reman akan dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 14 Jun lalu, arwah Nazrin maut selepas terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat beliau di Mutiara Damansara akibat terhidu asap berpunca daripada letupan telefon bimbit milik mangsa.

Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kes yang disiasat sebagai mati mengejut itu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas polis mendapat keputusan bedah siasat dan laporan bomba.

Susulan daripada itu, dua individu iaitu isteri mangsa dan bekas suami wanita tersebut ditahan reman dua pada 4 September lalu bagi membantu siasatan sebelum bekas suaminya dibebaskan tiga hari kemudian.-UTUSAN ONLINE