Kedua-dua suspek berusia 25 tahun yang juga ahli kumpulan penjenayah dikenali Geng Hitam itu ditahan pada pukul 5.30 pagi ketika cuba melarikan diri daripada polis.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek telah bergiat aktif dalam jenayah pecah rumah sekitar daerah ini dan Penampang sejak sebulan lalu.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek pertama telah ditangkap di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada tahun 2017 dan dijatuhkan hukuman pengawasan selama dua tahun di Ibu pejabat Daerah (IPD) Kinabatangan," katanya.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan selepas pihak polis menerima laporan kejadian kes pecah rumah di Taman Kepayan Ridge, Selasa lalu.

Habibi menambah, susulan penahanan dua suspek tersebut telah berjaya menyelesaikan sebanyak 13 kes pecah rumah di sekitar bandar raya ini.

“Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE