Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam berkata, aktiviti pemalsuan dokumen itu mula dikesan menerusi pelaksanaan audit beberapa tahun lalu dan pihaknya percaya kegiatan tersebut melibatkan kakitangan syarikat terbabit yang bersekongkol bersama ejen penghantaran.

“Kegiatan ini berjaya dikesan selepas kita menjumpai dokumen iaitu resit COR yang telah dipalsukan oleh ejen yang dilantik oleh syarikat terbabit.

“Kita juga sudah ada beberapa kes membabitkan ejen penghantaran ini menipu dengan memberikan resit COR yang telah dipalsukan. Malah, syarikat gergasi turut terkena dan sebagai contoh, syarikat bayar kepada ejen seba­nyak RM3 juta, tetapi (ejen) dibayar kepada pihak kastam hanya RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Aplikasi Mudah Alih Tariff, Duty Finder, GST dan perkhidmatan sistem pesanan ringkas, MySMS serta MyUSSD sempena Konvensyen Inovatif dan Kreatif (KIK) ke-18, dan Anugerah Kecemerlangan Inovasi JKDM di Akademi Kastam Diraja Malaysia (Akmal), Bukit Baru di sini hari ini.

Pada masa sama, Subromaniam memberitahu, setakat ini dua kes telah didakwa di mahkamah berhubung kegiatan tersebut, manakala dua kes lagi masih dalam siasatan untuk pendakwaan.

“Tindakan sudah diambil, namun saya tidak menolak kemungkinan terdapat banyak lagi kes belum dapat dikesan.

“Bagi mencegah kegiatan itu daripada terus berleluasa, beberapa aplikasi termasuk Duty Finder dilancarkan pada hari ini untuk membantu meningkatkan nilai pungutan hasil,” katanya.