Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses bagi me­ngenal pasti mayat individu yang turut mempunyai identiti sebagai Kim Chol itu juga telah mengikut setiap prosedur forensik.

“Saya sekali lagi secara rasmi mengesahkan bahawa mayat itu adalah mayat Kim Jong-nam,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan perkhidmatan KUL VIP Access yang ditawarkan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan Wakil Tetap Korea Utara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kim In-ryong yang menyatakan bahawa individu yang dibunuh di Malaysia bukannya Jong-nam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 10 Mac lalu mengesahkan warga Korea Utara yang dibunuh menggunakan racun VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu adalah Jong-nam namun enggan mendedahkan bagaimana ia dilakukan.

Menurut Ahmad Zahid, buat ketika ini, rundingan antara kerajaan Malaysia dengan Korea Utara di peringkat Ketua Setiausaha Kementerian Luar masih berjalan sejak bermula Isnin lalu.

“Kita adalah negara terbuka yang menerima amalan diplomasi di pe­ringkat antarabangsa, saya yakin banyak negara yang menghormati Konvensyen Vienna,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan meletakkan keutamaan untuk membawa keluar dengan selamat sembilan rakyat Malaysia yang dikenakan sekatan keluar dari Korea Utara.

Ketika ditanya pemberita sama ada akan berlaku penyerahan mana-mana warga Korea Utara atau mayat Jong-nam untuk membebaskan sembilan rakyat Malaysia itu, Ahmad Zahid berkata: “Kita melihat segala kemungkinan.”

Mengulas pertanyaan me­ngenai gesaan inkuiri bebas pe­ringkat antarabangsa diwujudkan untuk kes kematian Jong-nam, Ahmad Zahid berkata, semua pihak termasuk Korea Utara perlu mematuhi undang-undang dan resolusi antarabangsa sekiranya siasatan bebas itu diwujudkan.

Dalam perkara berasingan, Ahmad Zahid menegaskan, Kementerian Dalam Negeri menerusi agensi-agensi di bawahnya tidak akan sama sekali berkompromi terhadap aspek keselamatan pintu-pintu masuk negara terutamanya di lapangan-lapangan terbang negara ini.

“Kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan pada masa yang sama kita beri per­khidmatan yang terbaik kepada semua penumpang yang melalui lapangan terbang kita,” katanya terdahulu ketika berucap dalam majlis tersebut.