Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, mangsa berusia 65 tahun telah menyerahkan pelbagai mata wang asing, dua utas jam tangan dan barangan kemas kepada suspek bagi mendapatkan pokok herba tersebut.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari sini berminat untuk membeli pokok herba tersebut selepas terdengar perbualan dua orang wanita.

Katanya, bagi mendapatkan pokok tersebut, wanita itu telah dibawa menemui seorang rakan kedua-dua suspek.

"Suspek menakut-nakutkan mangsa kononnya mangsa mempunyai penyakit kronik yang perlu diubati dengan segera sebelum merebak kepada ahli keluarganya.

"Suspek meminta mangsa menyerahkan semua hartanya untuk mendapatkan pokok berkenaan bagi mengubati penyakitnya," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, mangsa menyerahkan mata wang dolar Amerika sebanyak RM180,000, mata wang Yuan China berjumlah RM10,000 dan mata wang Korea bernilai RM5,000.

"Mangsa turut menyerahkan dua utas jam tangan jenis Rolex bernilai RM60,000 dan barang kemas berjumlah RM600,000. Jumlah kerugian dianggarkan RM 855,000," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian memberikan satu beg plastik hitam dan melarang wanita tersebut membukanya dalam tempoh sebulan.

"Mangsa bagaimanapun curiga dan setelah membuka plastik itu semalam didapati hanya buah-buahan dan jus minuman di dalamnya," katanya.

Menurut beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - UTUSAN ONLINE