Liyana Mazlan mengakui pada mulanya dia dan suami tertarik dengan promosi itu kerana percaya penjualnya yang berperwatakan alim dan kelihatan ikhlas mahu membantu golongan berpendapatan sederhana sepertinya.

Lelaki itu turut menawarkan mereka membuat pinjaman penuh melalui koperasi syarikat miliknya bagi membeli sebuah rumah berkeluasan seperti banglo.

“Siapa yang tak mahu beli rumah besar dan murah pula. Namun siapa sangka, saya masuk perangkap mulut penyamun. Pada mulanya, memang sukar dipercayai tetapi setelah saya dan suami buat sedikit kajian, kami mula percaya.

“Bayangkan rumah ditawarkan berharga RM139,000, dapat banglo empat bilik di kawasan yang pesat membangun pula. Kami ada juga pergi ke pejabat syarikat terbabit, memang betul wujud. Staf pula pakai tudung labuh,” katanya.

Liyana berkata, dia dan suami kemudian diperdaya sehingga terdorong membuat pinjaman peribadi dari sebuah bank sebanyak RM15,000 dan membayarnya sebagai pendahuluan bagi membolehkannya membuat pinjaman pada baki harga rumah yang ditawarkan.

Selebihnya, dia perlu membuat bayaran bulanan sebanyak RM1,000 selama lima tahun kepada syarikat tersebut bagi menyelesaikan pinjaman rumah banglo itu.

Setelah membuat pembayaran, dia diberikan surat perjanjian dan telah melawat sendiri tapak rumah yang dijanjikan. Setelah berpuas hati, dia dijanjikan tempoh menunggu selama tiga tahun sebelum rumah siap diduduki.

Namun, setelah membuat dua kali pembayaran ansuran bulanan, timbul perasaan tidak sedap hati dan ada sesuatu tidak kena dengan cara syarikat itu mengendalikan bayaran berkenaan.

“Pihak syarikat mengatakan kami tidak membuat bayaran ansuran itu, sedangkan kami menyertakan resit bayaran sebagai bukti selama dua bulan. Tetapi setelah mengesyaki sesuatu tidak kena, kami berhenti bayar pada bulan ketiga, ditambah pula kes pembelian rumah murah seperti itu menjadi tular.

“Kami ke pejabat syarikat itu dan bertemu dengan individu yang mengaku sebagai pemaju perumahan. Ramai juga datang dan menuntut jawapan mengenai pembelian rumah mereka. Individu itu memang pandai putar belit sehingga ramai masih menaruh harapan rumah akan dibina,” katanya.

Setelah beberapa lama, Liyana dan suami masih menunggu rumah dijanjikan dan pergi ke pejabat syarikat itu namun, ia ditutup dan individu pemaju itu menghilangkan diri.

Katanya, dia dan suami membuat laporan polis dan mencari cara mengambil tindakan terhadap individu tersebut memandangkan kos bagi mengupah peguam untuk bertindak juga adalah tinggi.