Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, suspek yang berumur 57 tahun naik berang selepas ditegur supaya memadamkan api sampah yang dibakarnya oleh dua mangsa terbabit sebelum menghayunkan pisau pemotong daging.

Akibatnya, kedua-dua mangsa yang berumur 57 dan 70 tahun mengalami kecederaan pada bahagian tangan dengan seorang daripada mereka menerima enam jahitan pada bahagian depan kepala dan 11 jahitan pada belakang kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol turut cedera ringan di bahagian jari dan tangan dipercayai kerana bergelut dengan kedua-dua mangsa.

"Ketiga-tiga mereka mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya di sini dan selepas polis menerima laporan daripada pihak hospital, kita telah menahan suspek di tokong berkenaan kira-kira pukul 11 malam tadi.

"Kita turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada suspek namun ujian air kencing mendapati dia negatif dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy berkata,  pemeriksaan turut mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan dia direman tujuh hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE