Itu dakwaan terhadap beberapa pegawai kanan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka dikatakan menerima antara RM10 juta dan RM50 juta setiap seorang dalam tempoh tersebut bukan sahaja untuk meluluskan kontrak pembalakan tetapi pelbagai kontrak lain berkaitan jabatan tersebut.
Sehubungan itu, SPRM telah me­lakukan empat serbuan serentak di sekitar Sabah semalam bagi mendapatkan bukti-bukti berhubung dakwaan berkenaan.

Menurut sumber, antara lokasi yang diserbu dalam operasi bermula pukul 9.30 pagi itu ialah rumah Pengarah JPS di Sandakan serta pejabat jabatan di Kota Kinabalu, Tawau dan Tambunan.

Ujarnya, serbuan yang melibatkan kira-kira 40 pegawai dari Ibu pejabat SPRM Putrajaya dan SPRM Sabah itu merampas beberapa dokumen JPS serta dokumen kewangan syarikat yang telah memperoleh projek melalui jabatan berkenaan.

“Berikutan kegiatan ini telah dijalankan begitu lama, jumlah wang rasuah yang diterima mereka banyak. Sehubungan itu, siasatan SPRM bukan sekadar memberi fokus kepada pegawai JPS malah beberapa syarikat yang mendapat kontrak pembalakan daripada mereka.

“SPRM juga akan menyiasat secara menyeluruh beberapa kontrak yang diluluskan jabatan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan serbuan dan siasatan yang sedang dijalankan pihaknya terhadap beberapa pegawai kanan di JPS.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.