Sebaliknya, siasatan lanjut polis mendapati kanak-kanak berkenaan diperlakukan sedemikian selepas bapanya itu berang kerana mendapati mendapati makanan di rumah mereka dihabiskan empat anak-anaknya yang berusia antara tiga hingga sembilan tahun termasuk mangsa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian mangsa dikatakan mencuri wang ibunya sebanyak RM10 merupakan kejadian lama dan bukan punca sebenar suspek bertindak sedemikian kepada mangsa Khamis lalu.

Tambahnya, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, suspek yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar baru pulang dari bekerja dan mendapati makanan yang disediakan telah dihabiskan oleh anak-anaknya.

"Suspek telah mengejutkan tiga anaknya yang sedang tidur di ruang tamu dan memarahi serta memukul mereka.

"Suspek juga telah bertindak menyimbah semangkuk air panas yang diambil dari air penapis minuman yang terletak di bahagian ruang tamu rumah mereka ke arah mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian tersebut disaksikan oleh anak-anak serta isterinya namun isteri suspek hanya melihat kejadian tersebut dan tidak menghalang tindakan suspek.

Tambahnya, selepas kejadian itu, pasangan suami isteri berkenaan dipercayai melarikan diri bersama anak lelaki bongsu mereka.

"Anak sulung serta anak ketiga suspek kini berada di bawah jagaan nenek mereka iaitu ibu kepada isteri suspek yang tinggal di flat sama.

"Pihak polis sehingga kini masih berusaha mengesan suspek," katanya. - UTUSAN ONLINE