WAN AHMAD NAJMUDDIN

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan kes tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

“Polis sudah menyerahkan ker­tas siasatan dan menunggu ara­han selanjutnya daripada pe­jabat Peguam Negara. Jadi kita tunggu arahan, apa bentuk tindakan dan pertuduhan terhadap mereka itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan rasminya ke Ibu pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed; Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid.

Dalam perkembangan bera­singan, Wan Ahmad Najmuddin berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan operasi memburu individu yang dikaitkan dengan jenayah terancang, gengsterisme, perjudian serta pelacuran di negara ini dalam usaha membasmi kegiatan berkenaan habis-habisan.

Tegasnya, polis akan membuka fail siasatan terhadap mereka terlibat di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) 2015 (POCA) serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Saya sudah diberikan senarai nama sindiket dan akan mengambil tindakan susulan dengan mem­­buka kes fail siasatan.

“Secara amnya, hala tuju saya di jabatan ini selari dengan fokus yang digariskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam pentadbirannya termasuk akan mengambil tindakan ke atas sindiket, sekali gus membanteras jenayah berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu Wan Ahmad Najmuddin memberitahu, Terengganu merupakan antara negeri yang berjaya mencatatkan penurunan kadar jenayah dan trend itu diharap dapat dikekalkan.

Bagaimanapun, katanya, ma­sih terdapat beberapa kes yang belum diselesaikan hingga kini ter­utama membabitkan profil tinggi yang akan diberi perhatian serius.

“Ini termasuk kes tembak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat dan pembunuhan sepupunya, Mat Jusoh Ali yang lebih dikenali sebagai Cikgu Zaki, di samping kejadian di Besut,” katanya.