Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 51 tahun mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah rumah di sini.

Jenayah tersebut dilakukan antara pukul 5 hingga 5.30 petang, 18 November lalu.

Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta minimum 10 sebatan.

Mahkamah mengarahkan hukuman terhadap tertuduh berkuat kuasa pada tarikh tangkapan iaitu pada 20 November lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, lelaki itu merayu hukumannya diringankan, namun Hajarul Falenna memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam bahawa perbuatan itu merupakan jenayah serius.

“Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa mengalami trauma yang teruk dan memberi kesan kepada psikologinya secara berpanjangan.

“Hukuman berat penting bagi penyampaikan mesej kepada masyarakat supaya tidak mengulangi jenayah sama,” katanya.

Mengikut fakta kes, dalam kejadian 18 November lalu, tertuduh mendatangi mangsa yang sedang tidur di dalam bilik sebelum bertindak menekup mulutnya dan merogol remaja perempuan itu.

Keesokannya, tertuduh sekali lagi cuba mengulangi perbuatan itu namun gagal kerana bapa saudara mangsa pulang. Kejadian tersebut kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis. - UTUSAN ONLINE