Timbalan Pengarah Daerah Maritim 9 (Operasi) Kuala Terengganu, Komander Maritim Simon Templer Lo memberitahu, bot itu ditahan di kawasan 110 batu nautika dari Kerteh, dan pihaknya menemukan kira-kira 50,000 liter bahan api itu yang bernilai RM109,500 di dalam tangki utama bot berkenan.

"Kapten bot gagal mengemukakan dokumen status minyak dan lesen bot serta pelepasan pelabuhan dari negara asal dan negara ini," katanya dalam sidang akhbar di Pengkalan Maritim Kemaman, Teluk Kalong, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah Operasi Pengkalan Maritim Kemaman, Left. Mohd Suhaimi Abdul Rahman.

Kapten warga Thailand bersama lapan kru kapal berusia 21 hingga 55 tahun berada di atas bot terbabit ketika diperiksa, dan mereka tidak mempunyai pengenalan diri yang sah.

Simon berkata,  minyak itu dirampas dan kapal serta peralatan dianggarkan bernilai lebih RM800,000 ditahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 1961) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan itu dan memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas kepada sesiapa yang menjual minyak secara haram di sekitar perairan negara ini.

Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan yang menyalahi undang-undang boleh membantu pihak berkuasa membanteras jenayah berkenaan.

"Maklumat jenayah di laut boleh disalurkan kepada Maritim Malaysia Daerah Maritim Kuantan (DM8), 09-5717300, Daerah Maritim Kuala Terengganu (DM9), 09-6223943 / 3657, Daerah Maritim Tok Bali (DM10), 09-7780048 / 0051 dan Pangkalan Maritim Kemaman, 09-8582825 atau Pusat Operasi di Talian Mers 999," katanya. - UTUSAN ONLINE