Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman tersebut terhadap M. Kogulan, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di hadapan kedai Sky Awani, Jalan Batu Muda, Sentul di sini pada pukul 3.30 petang 3 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas R. K. Siveneasswary, 27, dengan menggunakan topi keledar yang merupakan suatu alat jika digunakan sebagai senjata untuk melakukan kesalahan mungkin boleh menyebabkan kematian.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahu atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia memukul isterinya kerana mendakwa wanita itu berbohong kepadanya, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Fariza Amira Azman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. - UTUSAN ONLINE