Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki turut mengetepikan de­nda RM1,000 yang telah dibayar oleh Shahrul Anuar Abdul Aziz, 25, selepas membenarkan rayuan akhirnya secara sebulat suara.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Yaacob Md. Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil turut menggugurkan rayuan balas pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan terhadap pelajar pusat tahfiz itu.

Hakim Mohtarudin berpuas hati rayuan Shahrul Anuar mempunyai merit selepas mendapati majistret yang mendengar perbicaraan kes itu tersalah arah dari segi undang-undang menyebabkan berlakunya salah laksana keadilan ketika mensabitkan pemuda itu dan menghukumnya.

“Nasihat saya, kalau awak buat, (awak) taubat. Kalau tidak buat, ini ujian Allah Taala. Saya percaya dan mempunyai alasan awak buat,’’ ujarnya ketika menyampaikan keputusan tersebut.

Sebelum itu, barisan pembelaan terdiri daripada peguam Datuk Shaharudin Ali dan Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz memohon rayuan itu dibenarkan kerana ternyata majistret berkenaan tersalah arah dari segi undang-undang ketika mencapai keputusannya.

Pihak pembelaan memohon anak guam mereka dibebaskan dengan bon jaminan berkelakuan baik di bawah Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah bagi memberinya peluang membina kehidupan baharu yang lebih sempurna selepas dihantar ke pusat tahfiz oleh ibu bapanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail berhujah, majistret berkenaan telah membuat penilaian maksimum bahawa pembelaan perayu adalah penafian semata-mata.

Pendakwa raya juga berhujah, hukuman penjara empat bulan terlalu rendah manakala perintah bebas dengan bon jaminan untuk memperbaiki kehidupan tidak sesuai dikeluarkan kerana dikhuatiri memberi tanggapan kepada masyarakat bahawa kesalahan mencuri boleh diperbaiki dengan memasuki pusat tahfiz.

Sementara itu, Shahrul Anuar yang ditemani bapanya, Abdul Aziz Ismail gembira dan bersyukur dengan keputusan itu dan berharap kes terhadapnya kini selesai agar dapat membina hidup yang lebih baik. Dia memasuki pusat tahfiz tersebut sejak November tahun lalu.