Penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH128 itu menceritakan, dia bersama tujuh penum­pang lain serta anak kapal bergelut dengan lelaki yang mendakwa memiliki bahan letupan terbabit ketika berlepas dari Melbourne, Australia.

Teck Huat yang berasal dari Klang berkata, mereka terpaksa berbuat demikian setelah melihat lelaki itu mencetuskan situ­asi panik selepas keluar dari kokpit.

“Kami terus menangkap lelaki itu dan menjatuhkannya serta segera mengikatnya agar dia tidak berge­rak daripada terus melakukan perbuatan tidak diingini.

“Dia diikat sehingga pihak berkuasa Australia tiba untuk menangkapnya,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Terdahulu, Teck Huat bersama lebih 100 penumpang MH128 selamat tiba di sini dengan menaiki pesawat MH128D pada pukul 1.40 pagi.

Kelmarin, MH128 yang dalam penerbangan dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik akibat tindakan seorang lelaki yang mendakwa memiliki bahan letupan dan mengugut untuk meletupkan pesawat tersebut.

Seorang lagi penumpang, Jolene Tan, 36, menyifatkan insiden yang berlaku dalam pesawat itu sebagai mimpi buruk dan sukar untuk dilupakan sepanjang hidupnya.

Katanya, dia amat terkejut apabila ada seorang lelaki berlari-lari dan dikatakan membawa bahan letupan sekali gus menimbulkan kebim­ba­ngan dalam kalangan penumpang.

“Bagaimanapun pramugara meminta kami bertenang dan duduk di tempat masing-masing kerana lelaki itu sudah diikat,” ujarnya.

Sementara itu, Sarah Tan, 22, memberitahu, detik-detik itu te­lah mencetuskan suasana cukup mencemaskan dalam pesawat.

“Kejadian sebegini menyebabkan saya serik untuk menaiki kapal terbang dalam masa terdekat. Tetapi saya bersyukur kerana tiba dengan selamat,” ujarnya.

Bagi Emmerson Tan, 41, semua pihak tidak perlu menyalahkan MAS berhubung kejadian yang telah menyebabkan penerbangan itu terkandas hampir 17 jam.

“MAS dan pihak berkuasa Australia telah menguruskan si­tuasi ini dengan baik sekali dan semuanya berjalan lancar. Saya ucapkan terima kasih,” katanya.