Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, supek berusia 46 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 pada 2013 di Gedek, Melaka dan 2016 di Bachok, Kelantan.

Kata beliau, pada 16 Mac lalu, seorang pengadu melawat anak lelakinya berusia sembilan tahun di madrasah berkenaan.

“Anak pengadu menceritakan dia didera oleh seorang ustaz sejak hari pertama masuk ke madrasah itu pada 1 Februari lalu. Anak pengadu memaklumkan dirotan, dicubit, ditampar, dicium mulut, ketuk ketampi serta dimaki hamun.

“Kejadian terbaharu pada 15 Mac lalu yang mana anak pengadu dirotan di badan termasuk di belakang badan, kaki, tangan dan dicubit. Akibat kejadian itu pengadu membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Othman berkata, hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan sebuah surau di Jaya Gading yang diubah suai untuk dijadikan sebagai pusat tahfiz dan asrama pelajar.

“Terdapat 19 pelajar yang belajar di tahfiz tersebut berusia antara lapan tahun hingga 15 tahun. Hanya seorang guru yang mengajar di tahfiz berkenaan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan keterangan daripada dua mangsa berusia sembilan tahun dan 11 tahun, semua pelajar pusat tahfiz dipukul oleh ustaz berkenaan menggunakan rotan serta dipukul jika mereka membuat kesalahan.

“Hasil pemeriksaan fizikal ke atas kedua-dua mangsa dapati terdapat kesan dirotan pada badan dan kesan cubitan,” - UTUSAN ONLINE