Lebih menyedihkan, kanak-kanak malang itu didera pelbagai cara termasuk dicucuh pun­tung rokok, dipukul dengan penyapu dan penyangkut baju, selain dikurung di selama hampir sebulan.

Difahamkan, perbuatan ke­jam­ itu dilakukan kerana suspek geram melihat anak sulung daripada tiga beradik yang bernama Khairunisa, 8, itu mempunyai wajah mirip dengan bekas isteri.

Ibu mangsa, Nurul Hazwani Shahferi, 27, memberitahu, Khai­runisa dan adiknya, Mohd. Khalif Daneal, 6, di bawah jaga­annya, namun pada 21 Oktober lalu, suspek mengambil mereka tinggal bersama dengan alasan mahu menguruskan persekolahan.

Bagaimanapun katanya, Sab­tu lalu, adik suspek menghu­bunginya dan memaklumkan Khai­runisa sering menjadi ma­ng­sa dera bekas suami, selain dikurung di dalam rumah dan tidak dihantar ke sekolah seperti sepatutnya.

“Mereka cuba membantu anak saya tetapi bekas suami mengugut akan memukul ma­ngsa lebih teruk lagi. Lebih memburukkan keadaan, bekas­ suami dikatakan kembali me­ngambil dadah iaitu pil kuda.

“Bimbang keselamatan dua anak, saya membuat laporan polis pada hari itu juga sebelum bergegas menyelamatkan mereka sambil diiringi anggota polis,” katanya ketika ditemui di kediaman saudaranya di Limbat di sini hari ini.

Ujar Nurul Hazwani, Khai­runisa ditemukan dalam keada­an lemah dengan kesan cucuhan rokok, luka lama dan baharu di kepala serta seluruh badan, manakala adiknya, Mohd. Khalif Daneal pula langsung tidak diapa-apakan.

Nurul Hazwani dan bekas suami bernikah 10 tahun lalu serta dikurniakan tiga anak termasuk seorang lagi anak lelaki berusia lima tahun.

Mereka bercerai dua kali sebelum ini iaitu pada 2010 dan 2011 kerana sikap suspek yang panas baran.

“Saya yakin dia bertindak demikian kerana benci melihat­ muka anak sulung kami kerana iras dengan muka saya. Dia pernah menghantar mesej kepada adiknya memberitahu benci me­lihat muka anak sulung kami dan ingin memukulnya sehingga mati,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan menerima lapo­ran­ berhubung kejadian tersebut dan suspek telah ditahan, Ahad lalu.

“Hasil ujian air kencing mendapati positif dadah jenis me­thamphetamine dan dia direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.