Ketua Polis negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, ke­ti­ga-tiga suspek ini telah ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana mereka terlibat dalam kes tersebut.

Menurut beliau, pihak­nya juga sedang me­nung­gu laporan penuh daripada pakar perubatan bagi menentukan berapa lama mangsa telah didera sebelum diselamatkan.

“Kalau kita tanya mereka (suspek), mungkin mereka tidak akan mengaku atau jawapan yang diberikan juga mungkin tidak tepat.

“Jadi, kita tunggu kepastian da­ripada pakar perubatan saha­ja,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa, Adelina Lisao, 26, dari Indonesia disahkan me­ninggal dunia akibat sesak nafas kurang 24 jam selepas diselamatkan dari sebuah rumah dipercayai milik majikannya di Bukit Mertajam kelmarin.

Ketika ditemukan, ter­­da­pat kesan lebam di kepala dan mukanya ma­nakala bahagian lengan serta kedua-dua belah kakinya pula bernanah, dipercayai ter­kena air panas.

Dalam pa­da itu, suspek ketiga ia­­itu ibu kepada dua suspek yang ditahan semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dibuat Pendaftar Mah­kamah Majistret Bukit Mertajam, Nor Hapipah Abdullah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kelmarin, dua anaknya yang masing-masing berusia 36 dan 39 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes yang sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.