Perkara itu ditegaskan Ke­tua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagi me­ngulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa polis tidak merujuk kepada pe­mimpin ter­tinggi negara berhubung tindakan pe­ngusiran itu.

Menurutnya, berkemungkinan wujud masalah teknikal mengenai pemberitahuan, namun tindakan berkenaan dibuat setelah pihaknya menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara.

“Kita terima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya berkaitan pengusiran tersebut jadi bila terima arahan, kita perlu segerakan bagi menyekat rangkaian mereka di negara ini.

“Pengusiran itu juga dibuat setelah berbincang dan be­kerjasama dengan Jabatan Imigresen. Pada masa akan datang kita akan laporkan dahulu termasuk perancangan operasi sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Jabatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, yang sebelum ini digalas oleh Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. kepada timbalannya, Datuk Huzir Mohamed sebagai pemangku di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.

Mohamad Fuzi memaklumkan, tindakan pengusiran warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan itu juga menunjukkan pihaknya tidak berkompromi dalam isu keselamatan negara.