Timbalan Pengarah Kanan Ja­batan Penguatkuasaan DBKL, Osman Ismail berkata, jumlah tersebut adalah daripada operasi pemeriksaan berkala yang dilakukan pada waktu malam ke atas kira-kira 740 buah tapak pembinaan yang dipantau termasuk 300 projek berskala besar di ibu negara.

Katanya, keengganan pemaju memohon kebenaran serta kelulusan membina rumah kongsi adalah berikutan sikap sambil lewa majikan mengambil jalan mudah dengan mengabaikan pia­waian keselamatan tempat tinggal pekerja dalam kawasan be­risiko itu.

“Kesemua 70 tapak pembinaan yang mendirikan rumah kongsi haram itu dikompaun mengikut Seksyen 70 bagi pembinaan struktur dalam bangunan yang sedang dibina manakala Seksyen 80 bagi struktur sementara di luar tapak pembinaan yang termaktub di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1957.

“Nilai kompaun yang dikenakan adalah daripada RM50,000 hingga RM70,000 bagi setiap struktur yang gagal mendapatkan kebenaran membina daripada Jabatan Kawalan Bangunan DBKL,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Op Tapak (Siri 10) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi bersepadu DBKL bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ke sebuah tapak pembinaan projek komersial di Alam Damai di sini.

Menurut Osman, pemaju terbabit diberi tiga notis kompaun bernilai RM102,000 ekoran tiada kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan itu bagi mendirikan rumah kongsi pekerja dalam bangunan.

Katanya, pemeriksaan melibatkan anggota penguat kuasa daripada Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL itu turut me-nemui kawasan lopak air terbiar di beberapa lokasi dalam kawasan tapak pembinaan dan tindakan denda RM2,000 atas kesalahan bangunan kotor turut diambil.

“Secara keseluruhannya siri terakhir Op Tapak bagi tahun 2017 pada hari ini membuahkan hasil terutama tiada tangkapan atas kesalahan pekerja asing tanpa izin atau penyalahgunaan pas permit sepanjang pemeriksaan.

“Ini membuktikan pemaju serta majikan akur mematuhi keperluan mengambil pekerja yang sah serta tidak terlibat dalam melin-dungi atau bersekongkol dengan sebarang sindiket yang membekal pekerja a­sing tanpa izin,” jelasnya.