Hanya mahu dikenali sebagai Saidon, dia memahami persoalan yang timbul terutamanya mengapa dia tidak melakukan sebarang tindakan menghalang kejadian itu kerana mereka tinggal serumah.

“Saya memang pernah de­ngar cucu saya menangis tetapi tidak tahu akan jadi sampai begini sebab saya tengok anak dan menantu dalam keadaan baik sahaja,” kata Saidon yang beker­ja sebagai pemandu lori ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Panjang, di sini hari ini.

Dia berharap masyarakat tidak membuat spekulasi dan menye­rahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci.

Dalam kejadian malam kelmarin, mangsa dikatakan lemah dan enggan minum susu sebelum dikejarkan ke sebuah klinik berhampiran oleh pasangan suami isteri berusia 22 dan 26 tahun itu sebelum mangsa me­ninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

Semalam, pasangan suami isteri itu direman selama semin­g­gu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya kini menunggu pemeriksaan pakar pergigian untuk melengkapkan siasatan kes kematian bayi berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan pakar berkenaan diperlukan berikutan terdapat kesan gigitan pada kedua-dua belah tangan mangsa.

Katanya, pakar pergigian Hos­pital Seberang Jaya dijangka me­nentukan pemilik rekod gigi yang menggigit mangsa.

“Bagaimanapun, proses ber­kenaan akan dilakukan esok (Ahad) kerana hari ini pakar yang terbabit bercuti sempena Tahun Baharu Cina. Jenazah mangsa ketika ini masih belum boleh dituntut,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini.

Ditanya berhubung motif kejadian termasuk dakwaan ibu mangsa menghadapi masalah kesihatan, Nik Ros Azhan berkata, masyarakat diharap tidak membuat sebarang spekulasi.

“Pada masa sama, siasatan kes ini sedang berjalan termasuk kemungkinan menahan datuk dan ibu saudara mangsa yang tinggal di rumah itu selain mengenal pasti punca kejadian,” katanya.