Suspek berusia 37 tahun ber­gelar Datuk Seri yang dipercayai suami kepada seorang pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergelar Datuk ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 3.48 petang ini.

Lelaki terbabit yang dikatakan berlakon dalam sebuah filem aksi tempatan yang dalam pembikinan merupakan suspek kelima ditahan bagi membantu siasatan kes yang mencetuskan kontroversi itu.

Menurut sumber, wang suapan itu dibayar kepada suspek secara berperingkat-peringkat dengan bayaran pertama dilakukan di rumah suspek pada Julai tahun lalu melibatkan wang berjumlah RM2 juta.

“Bayaran kedua seba­nyak RM15 juta dilakukan kepada sebuah syarikat pada bulan yang sama dan pembayaran ketiga serta terakhir pada Ogos tahun lalu.

“Suspek berkemungkinan telah meyakinkan syarikat pembinaan utama itu bahawa dia mampu menutup dan menyelesaikan siasatan yang dijalankan SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, pihaknya masih lagi mengumpulkan bukti untuk membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita akan membawa suspek ke Mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman esok,” jelasnya.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi an­taranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Pelaksanaan terowong itu turut dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

SPRM setakat ini telah mera­kamkan percakapan 127 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Lim Hock Seng dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy.