Timbalan Perdana yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sesiapa sahaja di negara ini tertakluk di bawah perundangan, dan gelaran atau pangkat bukan merupakan lesen untuk mengambil tindakan kekerasan terhadap orang lain terutamanya petugas beruniform.

“Kita mengetahui siapa dia dan di mana beliau berada, eloklah menyerah diri sebelum polis tangkap.
Ini pengajaran kepada semua bahawa sesiapa yang mempunyai gelaran bukan bermakna undang-undang berada dalam tangan mereka,” kata beliau selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri Tahun 2017 di Maktab Penjara Malaysia di sini hari ini.


fadzil
fadzil

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya sudah mengenal pasti suspek berusia 29 tahun itu. 

"Kami minta lelaki itu serah diri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya dalam kenyataan hari ini.



rela-tumbuk
Anggota Rela cedera di mata akibat dikasari seorang lelaki bergelar `Datuk Seri' Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi Jumaat lalu, tiga anggota Rela iaitu Melvin Cheong Mun Khai, 19, Lee Weng Poh, 27, dan Leong Jiun Jie, 21, masing-masing mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki itu. 

Kejadian dikatakan bermula apabila mereka meminta suspek mengalihkan kenderaan Toyota Vellfire milik suspek yang menganggu lalu lintas, namun dia enggan berbuat demikian.


lam thye
Lee Lam Thye

Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan kejadian itu sebagai memalukan kerana sebagai seorang yang menerima darjah kebesaran, individu terbabit harus sentiasa mendukung amanah, kepercayaan dan nama baik raja dan pemerintah yang memberikan gelaran tersebut.

Tegas Lam Thye, Walau apa juga alasan, ‘Datuk Seri’ tersebut tidak boleh bertindak ganas terhadap orang lain terutama anggota keselamatan yang sedang bertugas.

“Saya berharap individu terbabit dapat memberikan kerjasama kepada polis agar siasatan dapat dijalankan dengan adil dan pantas.

“Pada masa yang sama saya amat berharap pihak polis dapat menyelesaikan kes ini dengan segera tanpa rasa takut atau kepentingan agar dapat mengelakkan pandangan serong orang ramai terhadap siasatan polis,” kata Lam Thye dalam satu kenyataan.

Dari segi sejarah Rela tidak seharusnya dipandang rendah kerana telah memain peranan besar dalam sejarah negara dan bukan hanya berperanan menyuraikan lalu lintas ketika majlis tertentu sahaja.

Rela asalnya adalah Home Guard atau Pengawal Kampung ditubuhkan bertujuan untuk menjaga keselamatan setempat apabila darurat diisytiharkan pada tahun 1948.

home guard
Home Guard Melayu

 

Ahli-ahlinya terdiri daripada sukarelawan masyarakat setempat. Pasukan Pengawal Kampung dibubarkan setelah darurat diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960.

Tenaga sukarelawan ditubuhkan sekali lagi apabila negara menghadapai ancaman konfrontasi dengan Indonesia dari tahun 1963-1965.

Pasukan Kawalan telah diwujudkan bagi membantu agensi keselamatan menangani pendaratan dan penyusupan pihak Indonesia.

Pada waktu itu, Pasukan Kawalan bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan kepada pasukan keselamatan tentang ancaman pihak Indonesia. Apabila tamat konfrantasi pada tahun 1965, ia telah dibubarkan.

Pada 13 Mei 1969 telah berlaku pergaduhan antara kaum. Insiden yang berlaku telah menyedarkan pemimpin-pemimpin negara pada ketika itu tentang pentingnya diwujudkan satu pasukan sukarela yang tetap bagi membantu kerajaan dalam menangani masalah dan ancaman keselamatan.

Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri mencadangkan supaya pasukan sukarela berfungsi sebagai mata dan telinga kerajaan.

Pada 11 Januari 1972, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menubuhkan Rela di bawah Seksyen 2 Akta (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1964. Pasukan Rela dikawal di bawah Akta (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1964 ( Peraturan-Peraturan Perlu Ikatan Relawan Rakyat ) Pindaan 2005.

Pada 20 Mac 1999, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa menjadi Menteri Dalam Negeri telah mewujudkan Falsafah Rela yang baru. Falsafah ini mengandungi falsafah perjuangan Rela berasaskan lunas-lunas yang meliputi benteng ketiga pertahanan negara, pasukan sokongan berwibawa, tugas-tugas kebajikan serta ekonomi dan berdikari.

Peranan Rela semakin penting apabila kerajaan bersetuju menggerakkan 6,148 pegawai dan anggota jabatan itu bagi membantu operasi pemantauan pasukan keselamatan di 10 daerah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dengan permulaan 500 dilatih dalam projek perintis itu.

Anggota Rela akan menjadi barisan kedua pertahanan di ESSZONE, manakala agensi keselamatan lain kekal sebagai pasukan utama pemantauan dan operasi di kawasan terbabit.

Kronologi perkembangan Rela:

1999 : Rela memiliki bangunan sendiri untuk dijadikan pusat latihan dengan perasmian Pusat Latihan Rela Wilayah Selatan, Sungai Udang, Melaka oleh Abdullah yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri.

2004 : Rela diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) apabila Kementerian Dalam Negeri dijadikan dua kementerian, iaitu Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) dan KHEDN.

2005 : Rela diberi kuasa khas di bawah Akta Darurat Tahun 1964 untuk melaksanakan operasi membenteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

2007 : Rela membuat penstrukturan semula secara besar-besaran, termasuklah dengan pengambilan pertama Pembantu Pertahanan Awam Gred KP17 (Penolong Pegawai Rela Daerah) lantikan tetap. Penstrukturan semula ini melibatkan semua peringkat, iaitu di IPRM, negeri, daerah dan juga Pusat Latihan.

2008 : Rela diletakkan dibawah KDN apabila KKDN dan KHEDN bergabung dan diletakkan di bawah satu nama sebagai KDN.

2012 : Rela yang diberi kuasa khas di bawah Akta Darurat Tahun 1964 untuk melaksanakan operasi membenteras PATI telah dimansuhkan dan nama Ikatan Sukarelawan Rakyat Malaysia ditukarkan kepada Pasukan Sukarelawan Malaysia

2013 : Rela telah diumumkan Sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia oleh YB Dato’ Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi di Dataran Kompleks D, Putrajaya bersempena Program Pelancaran Semarak Jalur Gemilang.