Kesemua suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 24 hingga 65 itu ditahan dalam serbuan di sebuah banglo di Jalan Sultan Azlan Shah di sini kira-kira pukul 11.45 pagi, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, tangkapan terhadap kumpulan itu susulan laporan polis yang dibuat seorang pengawal keselamatan di Mont Blue Residence, Tambun yang mendakwa dikasari olehsalah seorang suspek pada 11 Mac lalu.

Katanya, suspek yang mendakwa ‘orang kuat’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu mencederakan mangsa menggunakan senjataapi sehingga mendapat kecederaan di dahi.

“Berikutan itu siasatan dijalankan bagi memburu dan mengesan suspek yang terlibat sebelum berjaya memberkas kesemua mereka yang masing-masing berasal dari Perak, Johor dan Selangor.

“Siasatan lanjut yang dilakukan terhadap suspek mendapati mereka terlibat dalam tidak kurang 11 kes jenayah dan penipuan di Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Selangor membabitkan kerugian sehingga RM1.6 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Hasnan, modus operandi kumpulan yang didalangi seorang lelaki berusia 31 tahun itu ialah menyamar sebagai Datuk Seri dan menggunakan nama orang kenamaan dengan menawarkan projek yang tidak wujud di Langkawi, Kedah; Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau memberitahu, kumpulan itu juga didapati menawarkan urusan mendapatkan darjah kebesaran, bintang dan pingat Yang di-Pertuan Agong secara pemalsuan.

“Kes penipuan ini masing-masing empat kes di Perak dan Kuala Lumpur, dua kes di Selangor dan satu kes di Negeri Sembilan.

“Pemeriksaan terhadap kesemua suspek mendapati mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes senjata api dan penipuan selain tiga daripada mereka didapati positif dadah,” katanya.- UTUSAN ONLINE