Perintah reman sehingga 17 April ini terhadap Datuk Seri berusia 74 tahun itu yang merupakan penasihat sebuah syarikat pemaju terkemuka serta anaknya yang berusia 47 tahun dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar, Mohamad Amin Shahul Hamid.

Dua beranak itu tiba di mahkamah tersebut kira-kira pukul 10.50 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri.

Terdahulu, mereka ditahan SPRM kira-kira pukul 7 malam tadi ketika hadir memberi kete­rangan di pejabat SPRM di sini dan di Putrajaya berkaitan kes skandal tanah berkenaan.

Sementara itu, jurucakap SPRM negeri berkata, kedua-dua beranak itu ditahan bagi membantu siasatan kes dakwaan salah guna kuasa termasuk penjualan tanah milik anak syarikat yayasan berkenaan pada harga lebih murah berbanding harga asal.

“Urusan berkenaan didakwa telah menyebabkan anak syarikat milik yayasan tersebut mengalami kerugian jutaan ringgit sejak beberapa tahun lalu,” katanya.

Beliau memberitahu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Sek­syen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Sebelum ini, seorang peme­gang amanah yayasan berkenaan yang bergelar Datuk turut direman lima hari mulai 29 Mac lalu bagi membantu siasatan kes ber­kenaan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan RM100,000 berserta dua penjamin.