Itu kesalahan dilakukan seorang pegawai kanan bergelar Datuk di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas didakwa menyeleweng dana membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi 10 projek di bawah projek 1Malaysia Negaraku.

Menurut sumber, Datuk tersebut dikatakan telah terlibat dalam hampir semua projek terbabit selain diarahkan oleh bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia untuk menguruskan perolehan dan pembayaran di Finas.

Ujarnya, suspek juga dikatakan mempunyai kuasa untuk menandatangani surat tawaran kepada syarikat-syarikat yang dilantik melalui arahan menteri terbabit.

“Siasatan awal mendapati, pegawai kanan tersebut juga dikatakan telah bersekongkol de­ngan syarikat-syarikat terbabit dengan meluluskan semua pembayaran bagi projek yang tidak dilaksanakan.

“Menteri terlibat pada ketika i­­­tu juga telah mengarahkan pegawai kanan terbabit supaya dana berjumlah RM25 juta dari SKMM digunakan untuk projek tersebut,” katanya di sini hari ini.

Tambah sumber lagi, susulan dakwaan itu, SPRM turut pergi ke kesemua syarikat yang memperoleh projek-projek tersebut untuk mengambil dokumen bagi membantu siasatan.

“Lebih 70 individu dikenal pasti bagi membantu siasatan kes tersebut dan selain itu sebanyak empat individu termasuk Ketua Pengarah Finas dan pegawai-pegawai daripada SKMM telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini,” jelasnya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mahu Finas yang dikaitkan dengan isu pertikaian penyaluran dana distruktur semula secara besar-besaran.

Selain itu, Gobind juga mengesahkan setakat ini beberapa pegawai Finas telah dipanggil SPRM untuk merekodkan keterangan berhubung pertikaian penyaluran dana tahun 2017.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan siasatan tersebut namun enggan mengulas lanjut.