HABIBAH HASSAN (kiri) dan Ridzwan Azizuddin (kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang atas tuduhan menerima wang daripada pesara tentera tanpa lesen berhubung pelaburan beras di Kuala Lumpur, semalam. Utusan/ ZAINI HUSIN

Datuk Ridzwan Azizuddin, 60, dan isterinya, Datin Habibah Hassan, 54, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin dan Hakim Azrul Darus.

Di hadapan Suzana, kedua-dua tertuduh yang merupakan ahli perniagaan itu masing-masing didakwa atas dua pertuduhan telah menerima dua cek daripada Lahadzir Salleh berjumlah RM452,200 tanpa satu lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Mereka yang juga merupakan pemilik sebuah syarikat pemborong beras itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Stesen beras belakang Giant Hulu Kelang, di sini antara 4 dan 9 Januari 2017.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya.

Suzana membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri pada Isnin setiap bulan di ba­lai polis berhampiran dan pasport diserahkan ke mahkamah.

Sementara itu, di hadapan Azrul, Habibah menghadapi sa­tu tuduhan serupa iaitu didakwa menerima deposit berjumlah RM141,312.50 daripada Ahmad Zehnunbin Abdul Majid tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 akta sama di pejabat Stesen beras Empayar Baiduri, Taman Permata, Taman Melawati di sini pada 30 November 2016.

Azrul membenarkan Habibah diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri setiap 1 hari bulan pada setiap bulan di balai polis berhampiran dan pasport turut diserahkan sebagai syarat jaminan.

Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene dan Ng Wee Li mencadangkan jaminan RM100,000 dan RM70,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan namun Ridzwan dan Habibah yang tidak diwakili peguam merayu ja­minan dikurangkan atas alasan perlu menanggung keluarga selain perniagaan mereka kian merosot.

Kesemua mahkamah menetapkan 22 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi serahkan dokumen dan lantikan peguam.

Difahamkan kedua-dua mang­sa telah dijanjikan keuntungan antara lapan dan 10 peratus dalam sebulan sekiranya melabur dalam pelaburan beras yang dikendalikan oleh pasangan tersebut.