Kedua-dua tertuduh, Datuk Ridzwan Azizuddin, 60, dan isterinya, Datin Habibah Hassan, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin dan Hakim Azrul Darus.

Di hadapan Suzana, kedua-dua tertuduh masing-masing didakwa atas dua pertuduhan telah menerima dua keping cek berjumlah RM452,200 daripada Lahadzir Salleh, 78, tanpa satu lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Mereka yang juga merupakan pemilik sebuah syarikat pemborong beras itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Stesen Beras belakang Giant Hulu Kelang, di sini antara 4 dan 9 Januari 2017.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya.

Suzana membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri setiap Isnin pada setiap bulan dan pasport diserahkan ke mahkamah.

Sementara itu, di hadapan Azrul, Habibah turut mengaku tidak bersalah atas perbuatan sama menerima wang daripada Ahmad Zehnunbin Abdul Majid, 71, berjumlah RM141,312.50 di Stesen Beras Empayar Baiduri, Taman Permata, di sini pada 30 November 2016 dan didakwa mengikut Seksyen sama.

Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat sama.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 22 Oktober ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE