Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk S. Dev Kumar berkata, kejadian menimpa mangsa dilaporkan oleh ibunya berusia 27 tahun pada pagi ini.

Katanya, suri rumah terbabit membuat laporan polis setelah anak perempuannya itu menceritakan perbuatan rogol yang didakwa beberapa kali berlaku sejak setahun mangsa tinggal bersama datuknya di sebuah rumah panjang di Sungai Durin di sini.

Mangsa mendakwa beberapa kali dirogol oleh datuk dan seorang bapa saudaranya sejak tinggal di rumah panjang itu, memandangkan ibunya menetap di Mukah.

"Hasil laporan dibuat ibu mangsa, polis telah menangkap bapa saudara kanak-kanak itu di sebuah kilang kayu di Durin pada pukul 1 petang, diikuti datuknya sejam kemudian di rumahnya," kata beliau ketika dihubungi di sini, petang ini.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 25 dan 53 tahun akan direman esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE