Hanya dengan mengenakan bayaran RM100 hingga RM200, sindiket berkenaan akan memberikan butiran berkaitan kad kredit atau kad debit kepada pembeli bagi membolehkan mereka berbelanja dalam talian.

Sindiket yang dipercayai mempunyai kepakaran teknologi maklumat itu mampu menggodam sistem bagi mencuri data berkenaan sebelum menawarkannya kepada umum di laman sosial seperti Facebook.

Setakat ini, sindiket berkenaan mensasarkan pemain permainan video dalam talian sebagai pelanggan sekali gus butiran kad kredit dan kad debit itu digunakan untuk membuat pembelian menaik taraf akaun permainan video masing-masing.

Menurut sumber, bagaimanapun had pembelian terbabit bergantung kepada jumlah yang terdapat dalam kad kredit dan debit mangsa.

Jelasnya, ini berikutan, sindiket terbabit hanya menawarkan data kad kredit dan debit orang ramai dan soal berapa jumlah boleh dibelanjakan mereka (penggodam) tidak mengetahuinya.

“Semuanya bergantung kepada nasib, ada pembeli yang menerima data kad kredit dan debit seterusnya menggunakan untuk membuat pembelian sehingga RM10,000.

“Ada yang isinya sehingga RM1,000 ada sehingga RM6,000, namun ada juga pembeli tidak boleh membuat pembelian berikutan tiada baki dalam kad debit mahupun kad kredit yang sudah mencapai hadnya,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Ujar sumber, atas faktor itu, juga kegiatan sindiket berkenaan mula tersebar dan terbongkar apabila terdapat segelintir pembeli data yang gagal membuat pembelian.

“Ada pembeli yang gagal membuat pembelian menggunakan data yang diberikan sindiket melahirkan rasa tidak puas hati melalui Facebook mereka berurusan kerana beranggapan diperdaya.

“Ramai pelanggan mereka dalam kalangan remaja yang fanatik permainan video, malah dengan data yang diberikan pembeli boleh membuat apa sahaja pembelian menerusi dalam talian,” ujarnya.