Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, kejadian yang berlaku di sekitar kuil tersebut merupakan satu jenayah dan tidak ada kaitan dengan isu kaum mahupun agama.

Dalam satu kenyataan, Dr. Mahathir berkata, pihak polis telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera bagi mengawal keadaan.

Menurut beliau, amat jelas siasatan awal kejadian mendapati ada unsur jenayah. Begitu juga dengan kejadian susulan yang melibatkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis.

"Kerajaan juga kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab penjenayah yang menimbulkan kekacauan di kawasan kuil dan yang telah mencederakan anggota pasukan keselamatan serta anggota penyelamat di dalam rusuhan ini.

"Penjenayah-penjenayan yang terlibat cuba melakukan rusuhan serta mencederakan anggota keselamatan dan penyelamat termasuk kerosakan harta benda awam akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang sedia ada," kata Dr. Mahathir.

Kenyataan akhbar Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad
Kenyataan akhbar Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad 

Kerajaan menasihatkan orang ramai agar tidak mendengar khabar angin serta menyebarkan mesej yang tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media.- UTUSAN ONLINE