Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan memburu mereka dan membuat tangkapan secepat mungkin.

“Hasil maklumat, kita telah mengenal pasti siapa dan lokasi mereka di dalam negara. Ada di antara juga disyaki telah melarikan diri ke luar negara selepas kegiatan haram mereka didedahkan baru-baru ini.

“Walau bagaimanapun, kita tidak boleh membuat pendedahan berlebihan mengenai kes ini kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia ha­ri ini melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim memaklumkan pihaknya kini dalam proses mengumpul keterangan da­ripada empat saksi berhubung kegiatan perjudian haram di beberapa ne­geri selain telah mengenal pasti lebih 20 dalang kegiatan tersebut.

Tindakan tersebut adalah lanjutan daripada dakwaan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bahawa kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral yang berlaku di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan orang ketua atau digelar ‘dra­gon’ sejak bertahun-tahun lamanya.

Kumpulan sembilan dragon itu turut didakwa mampu mengutip sebanyak RM5 bilion sebulan hasil daripada pusat perjudian seluruh negara melalui sistem hierarki yang dilaksanakan sejak sekian lama.

Dalam pada itu Mohamad Fuzi enggan mengaitkan orang kenamaan yang dipercayai bertanggungjawab dalam sindiket perjudian ini dengan gelaran sembilan dragon atau mana-mana gelaran lain.

“Itu istilah yang diberikan oleh PPIM. Pihak polis hanya bertindak menjalankan tugas membanteras sindiket perjudian ini,” ujarnya.