Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata, tiga hakim tersebut akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat supaya siasatan dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Sebaik sahaja selesai rakaman percakapan dan sebagainya, kita akan hantar kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jabatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, yang sebelum ini digalas oleh Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. kepada timbalannya, Datuk Huzir Mohamed sebagai pemangku di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.

Pada 27 Februari lalu, Hamid telah memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dakwaannya mengenai salah laku yang dilakukan hakim dan wujud campur tangan dalam kes-kes mahkamah termasuk melibatkan kes peguam terkenal, Karpal Singh yang didakwa atas tuduhan menghasut.

Tuduhan terhadap badan kehakiman negara dinyatakan dalam afidavit sokongan setebal 65 muka surat yang diikrarkan oleh anak perempuan mendiang Karpal Singh, Sanggeet Kaur Deo.

Hari ini, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum memfailkan permohonan untuk memadamkan sebahagian besar afidavit sokongan yang diikrarkan Hamid bagi menyokong saman pemula yang difailkan anak mendiang Karpal Singh terhadapnya.-UTUSAN ONLINE