Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, laporan polis yang dibuat individu merupakan wakil kepada Presiden Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam berusia 43 tahun.

Menurut Fadzil, individu terbabit membuat laporan polis berhubung perkara itu kira-kira 6 petang semalam di Balai Polis Kota Damansara.

“Pengadu telah melihat satu video di Youtube mengatakan pelakon terbabit mendakwa telah cuba dirasuah sebanyak RM5 juta bagi memaafkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor. 

“Dalam laporan ini juga mengatakan bahawa Farid sengaja mereka-reka cerita untuk menjatuhkan imej bekas Perdana Menteri dan isterinya.

“Oleh demikian, kita akan memanggil pelakon ini dalam masa terdekat bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, menerusi video yang dimuat naik Rabu lalu dalam Youtube MyFokus Online semasa program TV Al-Hijrah berjudul “Nak jadi artis ke nak jadi ahli politik?” Farid mendakwa dia cuba dirasuah sebanyak RM5 juta oleh pihak kerajaan untuk memaafkan Najib dan Rosmah.-UTUSAN ONLINE