Menurut sumber, pihak SPRM telah membuka kertas siasatan susulan menerima laporan daripada pihak polis berhubung isu tersebut, petang semalam.

“Difahamkan, beberapa individu termasuk yang dikaitkan dalam isu ini akan dipanggil SPRM. Bagaimanapun, semua pihak diminta bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan ini.

“Siasatan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Editor portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dalam artikelnya yang diterbitkan oleh portal Sarawak Report mendakwa pimpinan tertinggi PAS mungkin menerima RM90 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendorong bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemudiannya memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di London pada 21 April 2017.

Walaubagaimanapun, minggu lalu dilaporkan Ahli Parlimen Marang itu bersetuju memuktamadkan penyelesaian dengan Rewcastle-Brown.

Abdul Hadi berkata, keputusan menerima penyelesaian di luar mahkamah dengan Rewcastle-Brown adalah disebabkan kos guaman yang terlalu tinggi dengan menambah wang berjumlah berjuta-juta itu boleh digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat.

Sementara itu, Najib juga menafikan memberikan wang kepada pemimpin Pas serta memaklumkan akaun bank beliau telah pun disiasat oleh pihak berkuasa selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei tahun lepas.- UTUSAN ONLINE