Isterinya yang merupakan rakyat Indonesia berusia 33 tahun masih diburu polis.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, semua suspek berusia antara 20 hingga 49 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan termasuk di Bandar Penawar, Kota Tinggi dan Kluang, hasil serbuan di sebuah premis di Stulang di sini pada Khamis.

Menurutnya, kejadian penculikan ke atas lelaki warga Singapura yang didakwa dilarikan sekumpulan lelaki di Setia Indah itu dilaporkan isterinya seorang warganegara Indonesia berusia 33 tahun pada 8 Mac lalu.

“Suspek meminta wang tebusan daripada ahli keluarga dan mereka telah membayar sebanyak RM670,000 sebelum laporan polis dibuat, wanita itu hanya membuat laporan selepas suaminya tidak dibebaskan walaupun wang sudah dibayar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan laporan yang dibuat, polis menyerbu sebuah premis di Stulang pada 21 Mac lalu dan berjaya menyelamatkan mangsa serta menahan lima lelaki dan seorang wanita.

Tambahnya, beberapa siri tangkapan susulan turut dilakukan di dua lokasi berbeza dan berjaya menahan empat lagi lelaki di Bandar Penawar dan dua lagi lelaki di Kluang.

“Hasil daripada siasatan yang dijalankan ke atas suspek yang ditahan mendedahkan bahawa kejadian melarikan mangsa dan memeras wang daripada keluarganya adalah perancangan mangsa dan isterinya sendiri bagi mendapatkan wang daripada keluarga mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE