Mengikut pertuduhan, Muhammad Aabid Zarkasi, 22, didakwa memiliki 40 keping gambar, 15 salinan dokumen dalam bentuk fail PDF dan 63 rakaman video yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas tersebut di dalam telefon bimbit dan pemacu pena miliknya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Serai Maju, Bagan Serai, Kerian, Perak, kira-kira pukul 11.05 malam, 8 September 2017.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd. Noor mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menurut subseksyen 130JB(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana bahan-bahan tersebut.

Peguam bela, Mohamad Hafiz Jalaludin yang mewakili Muhammad Aabid memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan memandangkan tertuduh yang kadangkala mengambil upah dalam pengurusan jenazah menanggung ibu bapanya dan dua adiknya yang sedang belajar.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan agar hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkapan pada hari kejadian.