Pasangan suami isteri dan dua wanita berusia 25 tahun itu di tahan dalam Op Tapis yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, pasangan suami isteri itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Seri Iskandar pada pukul 1 petang.

Katanya, pemeriksaan di rumah itu menemukan beg di atas lantai di hadapan kedua-dua suspek yang mengandungi satu peket plastik berwarna biru berisi dadah jenis Methamphetamine seberat 52.00 gram dan kepingan aluminium berisi dua butir pil disyaki dadah jenis Eramin 5.

"Ujian saringan air kencing terhadap suami isteri yang bekerja sebagai pembantu pusat snuker itu mendapati mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

"Kedua-dua mereka bagaimanapun tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya, di sini hari ini.

Mohamad Zainal berkata, terdahulu dalam tangkapan pada pukul 12 tengahari, dua wanita yang menjalankan perniagaan sambal ditahan bersama 5.26 gram dadah jenis Methamphetamine.

Katanya, ketika tangkapan di sebuah rumah di Taman Maju, Seri Iskandar itu, kedua-dua suspek sedang duduk menghadap antara satu sama lain disyaki sedang menghisap dadah di ruang tamu rumah tersebut.

"Pemeriksaan tubuh kedua-dua suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah namun pemeriksaan lanjut di atas lantai tempat kedua-dua suspek sedang duduk menjumpai satu peket plastik berisi 5.26 gram Methamphetamine, satu balang kaca yang diubahsuai untuk menghisap dadah dan satu pemetik api," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek juga didapati positif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. - UTUSAN ONLINE