Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, serbuan kira-kira pukul 3.30 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) ­Pasir Puteh.

“Suspek yang ditahan itu ber­umur antara 31 hingga 57 tahun dan mereka melakukan aktiviti memproses dadah di dalam sebuah bilik di rumah tersebut.

“Kita menemukan beberapa peralatan serta tujuh botol bahan kimia bernilai RM14,000, selain satu guni dan plastik berwarna biru berisi serbuk putih dipercayai dadah seberat 26 kilogram, dipercayai untuk pasaran seluruh Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Din berkata, pihaknya turut menyita dua buah kereta jenis ­Perodua Kancil dan Proton Waja yang dipercayai dicuri di Kota Bharu.

Katanya, siasatan awal mendapati makmal memproses dadah tersebut beroperasi sejak sebulan lalu dan mereka dipercayai mendapatkan bahan-bahan itu dari negara jiran.

“Sebelum ini, negeri ini dibanjiri dengan pil kuda yang diseludup dari negara jiran tetapi kini suspek cuba membawa masuk heroin pula.

“Respon penagih heroin ­sangat tinggi dan pada satu peringkat akan menimbulkan masalah ke­tagihan melampau,” jelasnya.

Katanya, heroin seberat 26 kilogram itu sekurang-kurang­nya boleh diagihkan kepada 100 pengedar kecil-kecilan.

Sementara itu, beliau memberitahu, salah seorang suspek didapati mempunyai lima rekod jenayah lampau berkait kesalahan dadah.

“Kesemua mereka positif dadah jenis amphetamine. Suspek direman sehingga hari ini dan kita akan menyambung reman mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.