Hasil tujuh serbuan itu, polis berjaya menemukan 2.51 juta pil berkenaan, selain 800 biji ekstasi dan menahan 10 lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 29 hingga 57 tahun yang dipercayai menjadi ahli sindiket pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Je­nayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pil Erimin 5 itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini menerusi kapal kargo dari Taiwan sebelum berlabuh di Pelabuhan Klang.

“Taktik mereka adalah meng­ik­rarkan kargo berkenaan atas nama perabot, tetapi hasil daripada siasatan kita mendapati Eri­min 5 disembunyikan dalam 15 sofa dan lapan meja dari Taiwan.

“Hasil daripada penemuan dadah itu, kita menahan 10 lelaki tempatan menerusi tujuh serbuan yang dilancarkan di sekitar Petaling Jaya sebelum berjaya menemukan 800 pil ekstasi di Taman Gembira dekat sini,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, pi­haknya percaya kegiatan ini baru sahaja dilakukan oleh sin­diket berkenaan dan kesemua dadah ini dipasarkan untuk pasaran tempatan, Thailand, Singapura serta Indonesia bagi kegunaan 2.51 juta pengguna pil itu.

Jelas beliau, selain daripada ram­pasan dadah, pihaknya turut menyita pelbagai barangan ter­masuk mata wang asing dan tempatan berjumlah RM900,000, dua kereta Mercedes-Benz serta tiga kereta Toyota, sembilan utas jam tangan mewah dan barangan kemas.

“Berdasarkan siasatan terhadap 10 lelaki berkenaan kita dapati, dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau manakala dua lagi positif dadah methaphe­tamine.

“Kesemua lelaki yang kita tahan ini direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika di sabitkan kesalahan,” katanya.

Jelas beliau kejayaan terbesar ini merupakan hasil daripada kerjasama yang berterusan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) de­ngan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).